Ubat Kanser dari Sel Khinzir

Apakah hukumnya bagi pesakit kanser seperti saya yang telah mengambil dan menjalani rawatan perubatan yang disarankan oleh doktor pakar yang memaklumkan bahawa terdapat sel khinzir yang yang terkandung dalam ubat tersebut. Majlis fatwa negara- negara timur tengah membenarkan. Maka itu saya bersetuju demi untuk pulih dan anak-anak yang masih kecil. Kini saya dalam dilema samada meneruskan atau berhenti rawatan, apakah ALLAH akan mengampuni dan menerima tindakan saya selama ini. Bagaimana dengan amalan saya apakah diterima?

Jawapan oleh Abul Harith, Admin Fiqh Medic:

Terima kasih Puan atas pertanyaan. Saya mendoakan agar ALLAH memberi kesembuhan dari sakit yang dihidapi dan Puan terus tabah menghadapi ujian ILAHI ini.

Saya juga amat hargai andai Puan dapat lebih spesifik menyatakan contoh ubat-ubatan atau prosedur yang diterima agar saya dan pembaca dapat menyelidik lebih lanjut tentang proses pembuatan dan kandungan ubatnya, seterusnya dapat memberi rumusan yang lebih tepat.

Merujuk kepada soalan Puan, izinkan saya memberi respon secara umum. Secara ringkas, menerima rawatan dari ubat-ubatan yang berasal dari khinzir adalah harus dan tiada masalah atas faktor-faktor berikut:

1. Proses Istihalah

Kebanyakan ubat yang dihasilkan adalah bahan sintesis daripada khinzir yang telah berubah zatnya dari segi kimia atau fizikal. Maka ia bukanlah lagi secara langsung sama seperti bahagian atau cairan dari khinzir. Konsep ini di sisi Islam dinamakan ‘ISTIHALAH’ ataupun proses perubahan zat.

Maka, hukumnya adalah HARUS dan HALAL digunakan. Maka siapakah yang mahu mengharamkan apa yang telah halal?

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”  Al-A’raf:32

Namun, kita juga akui dalam konteks Malaysia yang rata-rata memakai Mazhab Syafie’ tidak menerima konsep Istihalah. Bagaimanapun, yang terbaik bagi doktor dan pesakit ialah mengambil pendapat yang memudahkan urusan mereka yang bertujuan merawat dan menyelamatkan nyawa.

2. Darurat mengharuskan yang Haram/Dilarang 

Jika ubat tersebut mempunyai bahan khinzir yang jelas haram secara zahirnya sekalipun dan tidak melalui proses perubahan zat (Istihalah), ia tetap dibolehkan bagi tujuan rawatan. Ini kerana Darurat yang wujud iaitu untuk menyelamatkan nyawa membolehkan kita menggunakan bahan haram.

Ini berdasarkan Kaedah Fiqh yang masyhur, “Ad-Dharurat Tubiihu al-Mahzhurat” yang bermaksud ‘Keadaan Darurat Membolehkan Melakukan Yang Dilarang’.

Menyelamatkan nyawa adalah antara 5 darurat yang diiktiraf agama dan yang paling tinggi selepas ad-Din (agama) seperti yang terkandung dalam “ad-Dharuriyat al-Khams”.

Justeru, menurut Kaedah Fiqh dan Maqasid Syar’iyyah, menggunakan bahan dilarang adalah harus untuk menyelamatkan nyawa yang sememangnya Wajib dilindungi. Begitu juga, dalam kes Puan, adalah harus bahkan wajib menggunakan segala jenis bahan walaupun haram untuk menyelamatkan nyawa.

3. Fatwa ulama’ Timur Tengah / Eropah

Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama’ negara timur tengah mahupun Eropah adalah hasil ijtihad mereka yang bersungguh-sungguh. Maka, fatwa mereka boleh dipakai dan tidak boleh dibatalkan walaupun ada ijtihad atau fatwa yang menyanggahinya.

Kaedah Fiqh menyatakan, “al-Iltihad la Yunqadhu bi Misthlih” yang bermaksud ‘Ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan Ijtihad yang serupa’

Apatah lagi sepanjang pengkajian penulis, Ijtihad dan fatwa dari ulama’ Timur Tengah dan Eropah kebanyakannya lebih realistik dan praktikal dalam isu perubatan semasa. Ramai di kalangan doktor di Timur Tengah mendalami ilmu Fiqh dan Syariah. Manakala ulama’ Eropah yang selalu bergelumang dengan situasi masyakat yang pelbagai dan teknologi yang maju di Barat akan menatijahkan pandangan yang lebih terbuka dan adil.

Sebagai contoh, Dr. Nazih Hammad, ahli Fiqh Council of North America dan Akademi Fiqh Islam dari Kanada memutuskan hormon insulin, kolagen, gelatin atau sabun dari khinzir adalah halal kerana telah melalui proses Istihalah.

4. Perakuan doktor pakar

Perakuan dan syor doktor yang pakar dalam hal ini sudah cukup untuk dijadikan sandaran untuk diterima sebagai keharusan rawatan tersebut. Jika doktor tersebut mengakui bahawa ubat tersebut terbukti menyembuhkan dan adalah pilihan terbaik walaupun ia haram, maka syor doktor tersebut harus diterima.

Pandangan pakar atau ahli dalam sesuatu bidang diiktiraf di sisi perundangan Islam dan dipanggil ‘Ghalib Zhan’ atau ‘sangkaan yang kuat’ yang hampir menghampiri tahap ‘Yakin’.

Akhirnya, mengenai keampunan dan penerimaan amalan, itu semua adalah urusan ALLAH. Dari segi hukum, rawatan yang diterima Puan adalah harus, tidak haram, dan tiada kaitan dengan soal tertolaknya amal kebaikan Puan. Apatah lagi ini semua adalah ujian TUHAN untuk memperteguh keimanan kepada-NYA (al-Ankabut: 2). Dan ALLAH itu MAHA ADIL, DIA tidak akan menguji hamba-NYA diluar dari kemampuan hamba itu (al-Baqarah: 286).

WabiLLAHi Taufiq, waLLAHu a’lam.

2 Comments

  1. السلام عليكم

    Saya tak bermaksud untuk menyentuh secara langsung tentang point-point yang doc bawakan.

    Cuma ingin bertanya tentang kaedah “Kedharuratan membolehkan perbuatan yang dilarang.”

    Adakah kaedah ini boleh digunakan secara mutlak [absolute]?

    Bagaimana pula dengan hadits Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam melarang menggunakan khamr untuk berubat?

  2. Salam. Saya ingin menyentuh akan sepotong hadith riwayat Bukhari yg mafhumnya ” Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dengan sesuatu yang Dia haramkan”…??

    Bukankah dengan teknologi masa kini, banyak kajian telah dibuat terhadap perubatan alternatif seperti penggunaan tumbuhan dan herba yang boleh menggantikan ubatan yang berasaskan kimia, dadah dan dari unsur haram yg lain.

    Disinilah kita sebagai hambanya di uji untuk membuat pilihan. Amalkan Madu dan Habatusaudah.

    Pernahkah kita terfikir kenapa saudara2 kita yang mengidap diabetis tidak pulih setelah menggunakan ubat doktor bertahun-tahun.??

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *