Soalan: Dr, Apakah hukum warna kekuningan atau keruhan yang keluar daripada faraj wanita. Kesan ini biasa dapat dilihat pada pakaian dalam wanita. Apakah itu sama dengan darah haid?
Hafiza, Klang


Jawapan: Dalam istilah fikah kekuningan itu disebut sebagai sufrah. Sementara keruhan yang menghampiri warna hitam itu dinamakan kudrah. Kata seorang sahabiyyah yang bernama Umm ‘Atiyyah: “Kami tidak menganggap kudrah dan sufrah selepas suci (dari haidh) apa-apa pun” (Riwayat al-Bukhari, al-Nasai, Abu Daud dan al-Nasai. Lafaz ini lafaz Abu Daud, sanadnya sahih)

Berdasar riwayat di atas, maka bagi soalan saudari ada dua keadaan. Pertama; jika ia keluar pada waktu kebiasaan haidh, maka dia dianggap haidh. Jika ia keluar pada waktu yang kebiasaannya saudari suci, maka ia tidak dianggap sebagai haid. Cumanya saudari perlu membasuh pakaian untuk solat.