Derma Organ Kepada Non-Muslim

Adakah dibenarkan untuk seorang Muslim menderma organ kepada non-Muslim demi menyelamatkan nyawanya?

Islam membawa mesej universal dengan cinta, kasih sayang dan mengambil berat terhadap semua penghuni dunia ini. Oleh sebab itu, maka dibenarkan seorang Muslim untuk menderma organ kepada non-Muslim ketika mereka memerlukannya. Pastinya, keutamaan diberikan kepada penerima Muslim jika si penderma itu diberi pilihan.

Berikut adalah respon dari Sheikh Yusuf al-Qaradawi;

Menderma organ samalah seperti memberi sedekah dari sudut ianya dibenarkan kepada Muslim mahupun non-Muslim. Bagaimanapun, tidak dibenarkan menderma organ kepada tentera non-Muslim yang memerangi Muslim dan juga orang yang menganjurkan perang ke atas Islam. Begitu juga tidak dibenarkan menderma kepada seorang yang Murtad kerana dia tiada apa melainkan seorang pengkhianat kepada agama dan orang-orangnya.

Namun, jika terdapat Muslim dan non-Muslim yang kedua-duanya memerlukan derma organ atau darah, Muslim tersebut mestilah diberi keutamaan sebagaimana firman ALLAH s.w.t. di dalam al-Quran;

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain” (At-Taubah, 71)

Di sini kami ingin jelaskan bahawa seorang Muslim itu dikira memilih kesesatan dan berdosa jika dia menggunakan anugerah mulia (anggota badan) yang diberikan dengan mengingkari ALLAH dan memudaratkan saudaranya yang lain.

Begitu juga, jika tumpuan seseorang itu kepada saudara atau jirannya, dia telah mengambil keputusan yang mulia kerana ikatan kemanusiaan atau hubungan kejiranan. ALLAH berfirman;

وَأُوْلُواْ الأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللّهِ

“Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab ALLAH.” (Surah al-Anfal, 75)

Adalah amat terpuji bagi seorang yang dapat menderma organnya kepada orang tertentu, atau untuk pembangunan seperti bank yang khusus untuk tujuan tersebut (seperti bank darah dan bank tisu)

Sumber : dialihbahasa dari Bank Fatwa, http://www.islamonline.net

11 Comments

  1. bagaimana pula jika “non-muslim” itu ialah seorang kanak-kanak dan muslim itu seorang tua?

    saya berpendapat: dari segi umur, si kanak-kanak lebih layak menerima organ tersebut

  2. Wassalam & Syukran kepada Sdr. nizzzzzz atas soalan yang bagus,

    Saya akan cuba memberi jawapan secara adil dengan mempertimbangkan segala aspek.

    Memang tidak dinafikan mengikut perspektif kesihatan, seorang doktor sama ada Muslim atau non-Muslim akan mengutamakan pesakit yang lebih muda andai terdapat pertembungan sebegitu apabila mereka membuat keputusan berdasarkan ilmu & kepakaran perubatan yang mereka ada. Pesakit muda mempunyai ‘life span’ yang lebih lama dari seorang yang tua. Hayat pesakit muda yang lama akan memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat sekitarnya.

    Namun, dari sudut realiti pengurusan perubatan di negara kita, boleh jadi salah seorang samada lelaki tua atau kanak-kanak itu akan mendapat organ itu dahulu kerana berdasarkan urutan pendaftaran permohonan organ, kesesuaian organ, fasiliti perubatan, geografi dan juga kewangan. Faktor-faktor tersebut akan mempengaruhi siapa yang akan mendapat organ tersebut.

    Di sisi Islam, kita mempunyai suatu konsep yang dinamakan al-Wala’ yang bermaksud kesetiaan atau loyaliti kepada Islam dan umatnya. Maka, jika bertembung antara kepentingan Muslim & non-Muslim, hendaklah Muslim itu didahulukan. Jika kita seorang doktor Muslim yang amanah, maka disyorkan agar keperluan & kepentingan si Muslim diselesaikan dahulu dengan menolong pemindahan organ kepada Muslim agar berjaya.

    Dengan konsep al-Wala’, bukanlah bermakna kita menafikan hak non-Muslim dengan mendiskriminasi mereka. Selain al-Wala’, di sisi Islam terdapat konsep al-Ihsan iaitu berbuat baik kepada semua. Di sinilah terletaknya rahmat Islam kepada sekalian umat manusia sama ada ia Muslim atau tidak. Untuk menangani isu ni, disyorkan agar pihak doktor menceritakan keadaan yang berlaku kepada pesakit Muslim yang tua tersebut. Andai dia memahami dan menunjukkan ihsannya, dia boleh bersetuju mendahulukan kanak-kanak non-Muslim, selagi ia tidak melibatkan membawa kepada kemudaratan atau kematian kepada si Muslim. Moga sikap ihsan itu diganjari ALLAH menjadi penyebab agar terbuka hati non-Muslim kepada Islam.

    Moga komen ini memberi manfaat kepada semua. WabiLLAHi Taufiq, WaLLAHu A’lam. Wassalam.

  3. selain daripada 2 jenis orang yang tidak layak menerima organ daripada seorang Islam, apa lagi halangan atau masalah pendermaan organ bagi penganut Islam untuk mengelakkan diri daripada berdosa. harap reply, sekian terima kasih.

  4. Wassalam Sdr. Kelly & terima kasih atas soalan.

    Saya tidak jelas apa yang Sdr. maksudkan dengan 2 jenis orang yang tidak layak menerima organ itu. Kerana Islam sebagai agama yang penuh rahmat membenarkan umatnya mendermakan organ samada kepada Muslim mahupun non-Muslim kecuali Kafir Harbi (non-Muslim yang memerangi Islam)

    Sebagai perkongsian, terdapat beberapa konsep syariat yang perlu diteliti sebelum membuat keputusan meneruskan pendermaan organ.

    Pertama, hendaklah suatu prosedur itu tidak memudaratkan dirinya dan juga orang lain. Prinsip syariat menegaskan, “La dharar, wa la dhirar”.

    Kedua, prosedur itu mestilah juga menepati matlamat syariat Islam yang mahu mendatangkan kebaikan, memelihara maslahat atau kepentingan semua dan juga mengelakkan kebinasaan (mafsadah).

    Ketiga, prosedur itu mestilah bermatlamat menjaga 5 perkara yang menjadi perlindungan syariat iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

    Jadi, andai transplan organ menyebabkan kemudaratan diri dan orang lain dan mendatangkan kebinasaan terutamanya kepada agama, nyawa, akal dan keturunan, maka tidak harus meneruskannya. Namun, jika prinsip di atas boleh ditepati tanpa halangan, maka tiada masalah meneruskan perbuatan mendermakan organ kepada insan lain.

    WaLLAHu a’lam. Wassalam.

  5. kenape ada perbezaan antara muslim dengan non muslim..bukan kah non muslim juga manusia biasa yang berhak menikmati kehidupan sempurna..sama ada dia nak menganut agama islam atau tidak bukan kah itu hak dia..bukan kah ini akan membuat kan mereka tersisih dan mungkin disebabkan ini akan bangkit kumpulan non muslim untuk menuntut hak mereka…lagilah dia memandang islam itu kejam..dan ini juga akn mnyebbkan mereka lgi lari dri islam

  6. Wasssalam & terima kasih Sdr. Aliya atas komen.

    Pertamanya, komen Sdr. itu semua ada benarnya, cuma ia tertakluk kepada isu-isu yang berlainan. Kita tidak boleh mengambil sikap pukul rata, putting everything in one basket dalam hal ini. Segala isu yang Sdr. bangkitkan mempunyai kebenaran dalam suatu sudut yang lain, tapi boleh menjadi kurang tepat jika dipandang dalam konteks pendermaan organ ini.

    Secara umumnya, Islam adalah agama fitrah dan rahmah untuk sekalian alam, yang membawa misi kemanusiaan sejagat. Atas dasar kemanusiaan, maka semua manusia baik Muslim & non Muslim, dari pelbagai negara mahupun bangsa adalah sama. Semuanya hamba Allah dan mendapat rezeki dan rahmatnya dalam pelbagai bentuk.

    Lantaran itu, apabila seorang Muslim menderma darah mahupun wang ringgit, tidaklah mereka mempersoal dan merasa berdosa apabila darah dan wang ringgit itu diberi kepada non-Muslim. Pahalanya tetap sama. Begitu jugalah halnya dalam isu derma organ. Hatta pernah dilaporkan bahawa seorang remaja Palestin mendermakan organnya kepada beberapa orang warga Israel yang memerlukan, sedangkan Israel selalu menyerang Palestin saban hari.

    Cuma kita perlu berbalik kepada realiti kehidupan di dunia ini. Organ adalah suatu yang berharga. Bukan menjadi perkara mudah untuk mendermakannya. Sudah pasti, jika seorang Muslim hanya sanggup mendermakan organnya kepada siapa sahaja yang rapat dengannya, dan kemungkinan besar si penerima itu itu juga Muslim. Ini kerana perasaan ikatan persaudaraan Islam dan kekeluargaan yang ada. Saya juga menyakini non-Muslim juga akan melakukan hal yang sama – memberi organ di kalangan mereka. Namun, kita tidak menafikan terdapat derma organ antara Muslim & non-Muslim, dan tiada masalah pun akannya.

    “sama ada dia nak menganut agama islam atau tidak bukan kah itu hak dia..bukan kah ini akan membuat kan mereka tersisih dan mungkin disebabkan ini akan bangkit kumpulan non muslim untuk menuntut hak mereka…lagilah dia memandang islam itu kejam..dan ini juga akn mnyebbkan mereka lgi lari dri islam”

    Ya, soal hidayah adalah urusan Allah, dan sekali-kali kita tidak mendiskriminasikan non-Muslim kerana faktor ini. Apatah lagi kita merasa bertanggungjawab selaku hamba ALLAH untuk mendekati mereka, demi menyeru ke jalan ALLAH.

    Isu non-Muslim menuntut hak dan menganggap Islam kejam pula tiada kaitan. Pertama, ia menjadi hak perderma itu sendiri untuk memutuskan memberi kepada siapa yang dia mahu. Kedua, jika dia sudah meninggal, bergantung kepada keputusan doktor kepada siapa yang dia perlukan. Begitulah yang berlaku dalam sejarah transplan organ di Malaysia. Muslim & non-Muslim menderma dan menerima organ di antara satu sama lain. Tindakan individu Muslim tertentu tidak boleh dianggap sebagai prinsip Islam secara keseluruhannya.

    WaLLAHu A’lam. Wassalam..

  7. assalamualaikum…
    boleh ke muslim menerima organ daripada non-muslim?

    Wassalam Sdr. Hasna.

    Boleh sahaja menerima organ dari non-Muslim. Apatah lagi ia dikira darurat. Menyelamatkan nyawa dan hidup lebih utama. Boleh rujuk post yang berkaitan dengan derma organ dalam site ini.

    WaLLAHu a’lam.

  8. apakah hukum pemindahan organ bagi mazhab hanafi?

    Abul Harith : Terima kasih Sdr. Uyun atas pertanyaan.

    Saya tidak menemui pendapat dari Mazhab Hanafi dalam bab ini. Saya mohon kepada pengunjung lain untuk berkongsi jika menemukan sumbernya. Secara umum, dapat kita simpulkan kesemua mazhab menerima pendapat seperti di atas.

    Rujukan dan pandangan ulama’ terdahulu terhad dalam isu perubatan semasa disebabkan beberapa perkara.

    1) Isu perubatan moden adalah isu yang baru timbul.
    2) Kemunculan mazhab berlaku lebih 1000 tahun dahulu, dan isu ini tidak dibincangkan.
    3) Yang ada hanyalah panduan mengeluarkan hukum yang umum seperti prinsip dan kaedah fiqh, Usul Fiqh dan Maqasid Syar’iyyah.
    4) Maka, ulama’ hari ini berusaha mengeluarkan ijtihad sendiri melampaui sempadan mazhab dengan merujuk kepada nas al-Quran & as-Sunnah beserta bantuan Qawaid Fiqhiyyah, Usul Fiqh & Maqasid Syar’iyyah.

    WaLLAHu a’lam.

  9. aku nak kepentingan menderma organ

    Wassalam Sdr. Afifah.

    Kelebihan menderma organ yang utama adalah dapat membantu saudara kita sesama Muslim ataupun manusia lain yang memerlukan. Ia dituntut dalam Islam kerana dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Nyawa adalah antara unsur terpenting yang dijaga agama. Pastinya, bagi penderma adalah ganjaran pahala di sisi ALLAH.

  10. assalamualaikum….
    saya ada sedikit kekeliruan…mmg benar yg muslim digalakkn menderma organ dan penerima nya boleh juga nonmuslim…tetapi saya ada mndengr pendapat bahawa organ2 dalam badan kita juga akan dihitung diakhirat kelak….jadi jika kite mendermanya kepada nonmuslim dan penerima melakukn perkara2 yg dtegah islam, adakah diakhirat kelak organ yg kita dermakn tu akan dibakar kerana amalannya di dunia….

    Abul Harith : Wassalam Sdr. Shana, terima kasih atas soalan.

    Pendermaan organ amatlah digalakkan samada kepada Muslim atau non-Muslim dan manfaatnya sama seperti sedekah yang lain.

    Dakwaan derma organ kepada non-Muslim akan menyebabkan pendermanya diazab jika penerima melakukan maksiat seperti di atas adalah tidak tepat & bercanggah dengan Syariat ALLAH yang ditetapkan dalam al-Quran. Setiap orang akan menanggung pahala dan dosa masing-masing. Tidak dibebankan dosa orang lain ke atasnya, begitu juga dosanya ke atas orang lain.

    Firman ALLAH;

    “Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain” (al-An’am, 164)

    “Dan bahawa seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakan. Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan kepadanya. Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna” (an-Najm, 38-41)

Leave a Reply to aliyaCancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *