Soalan : Anak saya kerap terkencing di atas tempat tidur. Masalahnya tilam tersebut amat tebal dan berat. Adalah suatu kesusahan untuk mencucinya. Bagaimana cara saya ingin mencuci?


Jawapan: Majlis Fatwa Ulama Arab Saudi telah memfatwakan masalah ini dengan kata mereka: “Jika yang kecing ke atas tempat tidur (tilam) tersebut, atau seumpamanya , kanak-kanak lelaki yang belum memakan makanan, maka memadai dengan direnjiskan air sehingga meliputi semua tempat yang terkena najis. Tidak wajib memerah dan membasuhnya. Jika kanak-kanak berkenaan telah memakan makanan, atau kanak-kanak perempuan, samada dia telah memakan makanan atau tidak, maka hendaklah dibasuh. Caranya ialah mencurahkan air ke atas tempat najis. Tidak wajib mengangkat tilam tersebut dan memerahnya. Ini sama dengan najis di atas tanah di mana diriwayat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a: “Sesungguhnya seorang arab badawi telah kencing dalam masjid, maka nabi s.a.w. memerintahkan agar dicurahkan sebekas air ke atas tempat kencingnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta`, 5/364, cetakan al-Riasah al-‘Ammah, Arab Saudi)

Maka dengan itu puan hanya perlu mencurahkan air dengan kadar yang munasabah sahaja dengan itu tilam tersebut dianggap bersih.
Saya katakan juga; di sana ada pendapat yang mengizinkan menggunakan bahan-bahan pencuci yang disemburkan kepada tempat najis tersebut dan bahan itu berfungsi menukarkan najis kepada sejenis bahan yang baru dan hilang sifat-sifat najisnya. Sekiranya puan memiliki bahan yang seperti ini maka boleh digunakan. Pendapat ini disokong dan dipertahankan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi (lihat: Fiqh al-Taharah, m.s 58, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Juga jika air kencing itu sudah kering dan puan bersentuh pakaian atau kulit pada bekasnya, maka itu tidak mengapa, pakaian atau kulit puan yang bersentuhan itu tidak dianggap bernajis kerana ianya kering. Kata ahli fekah: “Kering bersentuh kering, dianggap bersih tanpa sebarang khilaf (perbezaan pendapat di kalangan ulama).

Sumber : http://drmaza.com