Soalan : Satu artikel dikeluarkan Times UK baru-baru ini berkenaan menghadkan pengambilan pelajar perubatan Islam kerana bantahan mereka untuk belajar tentang pengguguran dan penyakit kelamin. Artikel tersebut menyatakan, “Kebanyakan pelajar membantah pengguguran, di samping yang lain menolak untuk merawat penyakit kelamin kerana itu adalah balasan kepada maksiat.”

Satu kumpulan pelajar perubatan di Manchester University sedang berusaha untuk menyanggah salah tanggapan di sebalik pandangan ini. Saya harap anda dapat mengeluarkan kenyataan pendek tentang keharusan belajar pengguguran (sebab ia dibenarkan jika nyawa si ibu dalam bahaya) dan juga tentang belajar & merawat penyakit kelamin.

Dijawab oleh Shaykh Muhammad ibn Adam al-Kawthari, ulama Mazhab Hanafi.

Pengguguran dan menamatkan kandungan biasanya tidak diizinkan malahan bertentangan dengan ajaran Syariah. Namun, ia dibolehkan dalam keadaan tertentu yang mendesak seperti meneruskan kandungan  yang boleh membahayakan nyawa si ibu.

Sama juga, untuk melaksanakan prosedur ini ke atas orang lain juga haram, sebagaimana apa yang haram bagi seseorang juga akan menjadi haram untuk dilakukan kepada orang lain.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ

ALLAH Taa’la berfirman, “Dan hendaklah kamu tolong menolong dalam melakukan kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”

-Al-Maidah, 2-

Walaubagaimanapun, menuntut ilmu mengenai prosedur pengguguran adalah dibenarkan, kerana terdapat juga keadaan apabila pengguguran menjadi dibenarkan. Begitu juga sangat diizinkan untuk belajar tentang penyakit kelamin, dan untuk menyatakan ianya balasan kerana maksiat adalah tidak tepat. Seseorang boleh bertaubat dari dosanya dan menjadi disayangi pada pandangan Yang Maha Kuasa. Selain itu, tidak semua penyakit kelamin berlaku kerana dosa atau maksiat.

ALLAH mengetahui yang terbaik.

* penyakit kelamin ialah STD (sexually transmitted disease) seperti Syphilis, Gonorrhea & HIV

Sumber : disunting dan dialihbahasa dari www.themodernreligion.com